Fungsi lutut tidak normal



2 Mei 2016

RENCANA UTAMA

Fungsi lutut tidak normal


 

POP! itulah bunyi letupan pada bahagian lutut yang didengari oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli, 34, sebaik sahaja kakinya mencecah permukaan padang.

“Selepas kaki mencecah permukaan padang saya terus hilang keseimbangan badan dan terjatuh kemudian terasa sakit pada bahagian lutut sebelah kiri.

“Saya cuba untuk menggerakkan kaki sebelah kiri untuk bangun semula tetapi kesakitan yang dirasai pada bahagian lutut memang sukar untuk diungkap dengan kata-kata,” jelasnya.

Menurut Akmal, tidak lama selepas itu pasukan fisioterapi datang untuk melihat kecederaan yang dialaminya.

Lututnya cuba digerakkan dan digoyangkan. Pakar fisioterapi menyatakan bahawa dia tidak boleh meneruskan perlawanan dan perlu diusung keluar dari padang untuk menerima rawatan.

Ketika dirawat di luar padang Akmal dimaklumkan mengalami kecederaan lutut pada bahagian Ligamen Krusiat Anterior atau Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Beberapa hari selepas perlawanan, Akmal merujuk kepada doktor pakar dan melakukan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi mengetahui tahap kecederaan ACL yang dialaminya.

Berdasarkan imbasan MRI, doktor menyatakan bahawa ligamen ACLnya putus dan perlu melakukan pembedahan sekiranya mahu kembali bermain bola seperti biasa.

Menurut Akmal, dia mengalami kecederaan ACL pada 2006 ketika mewakili pasukannya, Kedah yang ketika itu menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bahru, Kelantan.

“Semasa perlawanan, saya melompat untuk mencabar bola tinggi namun pendaratan kaki yang tidak sempurna menyebabkan saya mengalami kecederaan ACL.

“Dua minggu selepas mendapat kecederaan itu saya melakukan pembedahan di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang,” jelasnya yang merupakan bekas penyerang bola sepak kebangsaan.

“Selepas melakukan pembedahan, saya perlu menggantung kasut bola buat seketika kerana perlu menjalani program pemulihan dalam masa enam bulan,” jelasnya.

Kecederaan yang dialaminya itu telah mengganggu prestasinya di atas padang terutama pada tahun pertama selepas pembedahan.

“Rasa sengal dan sakit masih terasa, manakala perasaan takut kecederaan itu berulang menghantui saya,” ujarnya yang kini bekerja sebagai pengulas sukan secara sambilan.

Musuh utama

Dalam pada itu, Pakar Ortopedik, Hospital Pantai Ampang, Dr. Ezlan Merican menjelaskan, ACL adalah salah satu ligamen yang terdapat di dalam sendi lutut setiap individu.

Ligamen ACL terletak di tengah lutut yang menyambungkan tulang paha (femur) kepada tulang kering (tibia).

EZLAN menunjukkan kedudukan ligamen ACL yang terletak di tengah bahagian lutut.

 

“Ligamen ini berfungsi memegang sendi lutut dengan kukuh agar ia stabil ketika digerakkan.

“Kecederaan ACL yang serius boleh menyebabkan sendi mudah terpelecok kerana tidak stabil dan ia boleh menyebabkan kehausan atau kerosakan pada selaput rawan serta kekoyakan kepada struktur miniskus,” jelasnya.

Kecederaan ACL adalah musuh utama kepada ahli sukan terutamanya sukan seperti bola sepak, ragbi, futsal, bola keranjang dan badminton.

“Kebanyakan kecederaan ACL berpunca daripada perubahan arah atau pergerakan secara tiba-tiba, pendaratan yang tidak sempurna ketika melompat atau lutut berputar pada arah bertentangan sehingga boleh menyebabkan ligamen itu putus atau terkoyak,” jelasnya

Ezlan berkata, ligamen yang putus atau terkoyak tidak boleh pulih semula jika tidak dibedah.

“Pesakit masih boleh meneruskan kehidupan seperti biasa jika tidak melakukan pembedahan, namun sukar untuk mereka kembali aktif bersukan dan melakukan aktiviti lasak,” jelasnya.

Tambahnya, kecederaan ACL bukan hanya disebabkan oleh aktiviti bersukan, malahan ia boleh terjadi jika seseorang mengalami kemalangan jalan raya.

“Antara tanda awal seseorang mengalami kecederaan ACL ialah kedengaran bunyi ‘pop’ dari lutut dan seterusnya pemain terasa amat sakit sehingga tidak boleh meneruskan permainan dan lutut akan membengkak dengan agak mendadak,” ujarnya.

Pembedahan

Mereka yang mengalami kecederaan ACL perlu melakukan pembedahan sekiranya mahu kembali aktif bersukan seperti biasa.

“Mereka yang memilih melakukan pembedahan, pakar akan menggantikan ACL yang koyak atau putus dengan tisu lain.

“Tisu yang diganti itu akan mengambil alih fungsi asal ACL. Tisu yang menggantikan ACL itu akan tumbuh pada kedudukan yang sama dengan ACL yang lama,” jelasnya.

Tambahnya, pesakit perlu faham bahawa pemulihan kecederaan lutut bukan sahaja bergantung kepada pembedahan yang berjaya semata-mata.

“Program rehabilitasi atau pemulihan berterusan adalah penting untuk mendapatkan keputusan yang baik.

Rawatan fisioterapi perlu dilakukan selepas pembedahan ACL.

 

“Kebiasaannya, selepas pembedahan ACL, pesakit perlu menjalani fisioterapi sekurang-kurangnya enam bulan untuk pulih sepenuhnya sebelum kembali bersukan,” jelasnya.

Ezlan berkata, kini ramai pesakit tidak menyedari dan mengambil berat mengenai kecederaan ACL.

“Ramai pesakit tidak mendapatkan rujukan pakar apabila mengalami kecederaan ini kerana sakit dan bengkak akan surut setelah beberapa minggu.

“Namun mereka akan menyedari fungsi lutut tidak normal apabila cuba bermain semula dan mendapati lutut senang terpelecok,” jelasnya.

Sementara itu, Hazril Zulkifli, 41, menyatakan, dia terpaksa berhenti bersukan dan melupakan segala aktiviti lasak hampir dua dekad setelah mengalami kecederaan ACL pada 1996.

“Saya mengalami kecederaan itu ketika bermain bola sepak sewaktu menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor. Pada ketika itu, saya tidak mengetahui bahawa ACL saya terkoyak.

“Pada 2003, saya mengambil keputusan untuk melakukan imbasan MRI setelah mendapat nasihat daripada rakan-rakan. Hasilnya, doktor mengesahkan ACL saya terkoyak,” jelasnya.

Tidak sempurna

Katanya lagi, ketika itu apabila bersukan, lututnya mudah terpelecok.

“Sejak itu, saya terpaksa melupakan aktiviti lasak dan bola sepak.

“Kadang-kadang di tempat kerja, ketika berjalan lutut bagaikan tidak stabil dan mudah terpelecok. Hidup saya bagaikan tidak sempurna bila mengalami kecederaan ini kerana pergerakan agak terbatas,” jelasnya.

Memikirkan permintaan anak-anaknya, Hazril mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan ACL pada bulan hadapan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz47UJ39lFO
Hakcipta terpelihara

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s