Falsafah secangkir kawa daun



29 April 2016

VARIA

Falsafah secangkir kawa daun

Asrul Aziz Datuak Karongkong Kayo melakukan demonstrasi membuat kawa daun di Taman Budaya Sumatera Barat.

 

Sebuah kedai di tepi jalan raya Bukit Tinggi-Payakumbuh kira-kira tujuh kilometer di timur Bukit Tinggi, Sumatera Barat tidak pernah sunyi daripada dikunjungi orang ramai terutamanya pada hari cuti.

Sehingga tengah malam, puluhan motosikal dan beberapa kereta kelihatan tersusun rapi di tempat letak kenderaan yang sebahagiannya merentasi lintasan rel kereta api yang sudah puluhan tahun tidak berfungsi.

Di bahagian belakang kedai yang luasnya sekitar 150 meter persegi itu pula terbentang sawah padi. Dari jauh kelihatan kelipan lampu rumah penduduk kampung di lereng Gunung Merapi yang bagaikan kunang-kunang.

Sebahagian besar pengunjung kedai itu merupakan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa. Namun, terdapat juga orang dewasa bersama ahli keluarga masing-masing.

Di satu sudut, dua remaja lelaki dengan hidung, telinga dan bibir yang bertindik serta kaki dan lengan pula dipenuhi tatu dilihat sedang berbincang sesuatu.

Di sebelah mereka terdapat seorang gadis bertudung yang sedang asyik membaca sebuah novel berjudul Negeri Lima Menara karya Ahmad Fuadi, penulis kelahiran Desa Bayur, Maninjau, Sumatera Barat.

Di hadapan mereka, terhidang minuman khas Minangkabau yang sedang meningkat naik ketika ini iaitu kawa daun. Kawa dalam bahasa Minang bererti kopi dan kawa daun pula bermaksud minuman yang berasal daripada seduhan daun kopi seperti teh.

Kawa daun dihidangkan di dalam tempurung kelapa dan dilapisi dengan buluh. Ia merupakan bahan semula jadi yang menjadi ciri khas secara turun-temurun sejak zaman penjajahan Belanda.

Sebagai pendamping kawa daun, disediakan bersama pisang goreng, tauhu, tempe, pulut merah, bika (ubi) dan tapai goreng.

Bagi penggemar kopi, kawa daun mungkin berasa agak aneh di lidah kerana rasanya yang agak kelat. Nikmat kawa daun akan dirasai jika diminum secara perlahan-lahan dan santai.

Sebagai pilihan, disediakan kawa daun dengan pelbagai rasa iaitu manis, susu, halia atau dicampur telur (kawa telur).

Sejak sepuluh tahun lalu, kawa daun sememangnya sudah ‘naik pangkat’ daripada minuman orang-orang kampung menjadi gaya hidup di Sumatera Barat terutamanya dalam kalangan remaja.

 

Seorang peniaga membuat kawa daun yang dipesan pelanggan di sebuah warung kopi di Kendari, Sumatera Utara.

 

Hampir di seluruh pelosok daerah terdapat kedai yang menyajikan kawa daun sebagai hidangan utama. Kebiasaannya, kedai kecil atau besar, ia diperbuat daripada pokok buluh dan menyediakan ruang untuk para pengunjung duduk bersila.

Harga murah

Harga kawa daun yang sangat murah iaitu 90 sen (Rp3,000) menyebabkan kedai-kedai itu dipenuhi dengan para pelajar dan mahasiswa bagi mengisi waktu lapang mereka.

Minuman khas kawa daun dipopularkan kembali sejak 11 tahun lalu oleh Syafrizal Sutan Mangkuto iaitu seorang penduduk kampung Tanjung Alam, Kabupaten Tanah Datar dengan mendirikan sebuah kedai yang diberi nama Kawa Daun Mangkuto.

Bagi masyarakat tempatan, kedai yang didirikan di pinggir jalan raya yang menghubungkan Kota Payakumbuh dan Batusangkar itu lebih popular dikenali sebagai kedai Kawa Daun Tabek Patah.

Kedai itu sering dikunjungi para pengamal media untuk membuat liputan mengenai kawa daun.

Jelas Syafrizal, dia memulakan usaha mendirikan kedai kawa daun sekitar 11 tahun lalu. Enam bulan pertama, tidak ramai pengunjung datang ke kedainya.

“Tidak ramai pengunjung tertarik dengan kawa daun ketika itu. Mungkin pada fikiran mereka, ia merupakan minuman pada zaman dahulu dan kuno,” katanya.

Bagaimanapun, tahun demi tahun, masyarakat setempat mula tertarik dengan kawa daun. Apa yang lebih menggembirakan Syafrizal ialah penggemar baharu kawa daun merupakan golongan belia dan remaja yang menjadikan kedainya sebagai tempat berkumpul serta bersantai.

Maka, sejak itulah kawa daun mula dikenali ramai dan pengunjung setia kedai Syafrizal semakin bertambah di Kabupaten Tanah Datar sehingga ia tersebar ke hampir seluruh penjuru Sumatera Barat.

“Saya bersyukur kerana kawa daun sekarang sudah kembali dikenali oleh masyarakat Minang sendiri,” katanya yang mengaku meraih pendapatan kira-kira RM736 (Rp2.5 juta) setiap hari hasil menjual kawa daun.

Langkah yang lebih ke hadapan dilakukan oleh seorang penduduk Kota Payakumbuh apabila mendirikan sebuah kilang kawa daun. Dia menghasilkan produk kawa daun dengan bungkusan moden untuk dijual di pasaran.

Surya menjelaskan, dia menyasarkan untuk mengeksport kawa daun ke pasaran luar negara terutamanya Amerika Syarikat setelah menyertai Ekspo Kopi Amerika di Seattle pada 2014 yang menyebabkan nama kawa daun menjadi perbualan hangat di sana.

“Kami sudah memenuhi segala syarat dan keperluan yang dikehendaki untuk mengeksport produk kawa daun ke luar negara. Cuma sekarang, kami cuba memenuhi keperluan dalaman syarikat,” kata Surya yang mendapat sokongan penuh daripada Pemerintah Wilayah Sumatera Barat.

SEORANG pelayan menyajikan segelas minuman kawa daun di Gerai Bandar Kopi, The Art Of Coffee di Bintaro, Tangerang, Banten.

 

Sebagai seorang pemegang Ijazah Sarjana Antropologi Universiti Andalas, Padang, Surya bertekad untuk menjadikan kawa daun sebagai identiti kulinari tradisional Minangkabau bagi memenuhi permintaan orang ramai, sekali gus menjadi minuman kesihatan yang terkenal di pasaran dalam dan luar negara.

“Menurut seorang pakar kopi dari Royal Botanic Garden, Britain, Dr. Aaroon Davies, daun kopi menyimpan kandungan mangiferin yang berkhasiat bagi mengurangkan risiko penyakit diabetes, kolesterol dalam saluran darah, kanser dan ia melindungi neuron otak,” jelas Surya.

Apa yang dilakukan Surya sememangnya berbeza dengan kawa daun tradisional lain yang ada di seluruh Sumatera Barat, baik daripada segi penampilan kedai yang kebanyakannya terletak di tengah Kota Payakumbuh sehingga kepada variasi minuman dan makanan pendamping kawa daun.

Sejarah kelam

Enam pilihan kawa daun disajikan kepada para pengunjung di kedai kawa daun Surya iaitu kawa asli, kawa telur, kawa susu, kawa halia, kawa lemon dan kawa ais manakala makanan pendamping pula adalah seperti kuih seri muka dan ubi goreng.

Tempurung kelapa sebagai teko kawa daun juga direka bentuk dengan rupa seperti rumah adat Minangkabau yang berbeza dengan kedai lain.

Tidak ramai mengetahui bahawa minuman tradisi kawa daun sebenarnya mempunyai sejarah kelam yang tersendiri iaitu ketika zaman penjajahan Belanda melalui Gabenor Van Den Bosch yang melaksanakan perintah tanam paksa pada 1840-an.

Ketika itu, penduduk kampung dipaksa menanam kopi dan semua hasil kopi tersebut dihantar ke Belanda untuk dijual di pasaran Eropah.

Masyarakat setempat pula hanya boleh menikmati daun kopi yang kemudiannya diolah menjadi kawa daun.

“Kisah itu merupakan sejarah terciptanya kawa daun dan ia perlu diceritakan kepada generasi muda supaya ia tidak dilupakan.

“Kalau bukan kerana sejarah itu, kami mungkin tidak mengenali kawa daun seperti sekarang,” kata Surya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0429&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz47DyW0ECz
Hakcipta terpelihara

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s