Bangkit selepas tiga kali gagal dalam perniagaan



29 April 2016

PESONA

Bangkit selepas tiga kali gagal dalam perniagaan


 

MASIH segar dalam ingatan Mohd. Sukur Ibrahim, 32, detik-detik digelar hantu oleh sekumpulan kanak-kanak kira-kira 28 tahun lalu.

Mohd. Sukur yang dilahirkan cacat dengan kaki dan kedua-dua belah tangannya pendek berbanding kanak-kanak lain sering disisih rakan-rakan seusianya.

Selepas menjadi bahan ejekan sejak kecil, Mohd. Sukur mengakui, hari-hari yang dilaluinya tidak pernah mudah dan suasana sekeliling seakan-akan kerap menghukumnya.

“Sejak kecil lagi saya dicemuh tanpa belas kasihan sehingga saya lebih gemar mengasingkan diri daripada berjumpa orang luar.

“Sampaikan saya bertekad mengelak untuk berjumpa sesiapa dengan hanya terperap di dalam bilik. Jika ada tetamu yang mahu masuk ke dalam bilik untuk bertemu saya, saya akan sembunyikan diri dengan masuk ke dalam kotak yang terletak di bawah katil,” katanya.

Namun, tiada siapa sangka, kekurangan fizikal yang membatasi pergerakan seharian insan berketinggian 103 sentimeter itu tidak menghalang dia untuk mampu bergelar usahawan apabila menjana pendapatan mencecah RM300,000 sebulan sehingga dikurniakan Anugerah Tokoh Keusahawanan OKU pada 2014.

Dibesarkan dalam keluarga berpendapatan sederhana, anak kelahiran Muar, Johor itu bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang reda dan tabah untuk mengharungi perjalanan hidupnya.

“Ibu memberitahu saya, sewaktu masih dalam kandungan, dia tidak pernah berasakan tendangan si anak walaupun sedang sarat mengandung.

“Bila saya dilahirkan, ibu terkejut dan sukar terima hakikat bahawa anak yang dilahirkan itu mengalami kecacatan.

“Ketika itu, ayah saya yang bertugas di Kem Terendak, Melaka tidak mahu balik ke rumah untuk melihat kelahiran anaknya selepas dapat tahu keadaan saya,” jelasnya.

Namun, setelah ibu bapa Mohd. Sukur dipujuk oleh datuknya, mereka menerima kelahiran anak keempat daripada enam adik-beradik itu dengan rela hati dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang.

Pada usia tujuh tahun, bapanya menghantar Mohd. Sukur untuk mendapatkan pendidikan pada Program Pemulihan Dalam Komuniti, Pusat Kebajikan Masyarakat bersama murid orang kelainan upaya (OKU) yang lain.

Bangkit

Setelah belajar bersama golongan OKU yang lain, Mohd. Sukur mula sedar bahawa masih terdapat insan lain yang lebih daif berbanding dirinya.

Walaupun cacat kedua-dua tangan dan kaki, Mohd. Sukur masih dikurniakan akal yang waras, sekali gus yakin mampu menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain.

“Saya lebih selesa untuk bersekolah di situ kerana tiada rakan yang mengejek saya. Lama-kelamaan, terdetik kesedaran dalam diri bahawa bukan saya seorang sahaja yang dilahirkan tidak sempurna.

Mohd. Sukur mementingkan ketelitian dalam setiap kerja pemasangan permaidani bagi memenuhi kepuasan pelanggan.

 

“Masih ada ramai lagi yang lebih bernasib malang daripada saya. Walaupun saya dikurniakan sepasang tangan dan kaki yang tidak normal, saya masih boleh menguruskan diri sendiri dan berdikari,” katanya.

Bertitik-tolak daripada kesedaran itu, Mohd. Sukur memperoleh kekuatan untuk membina keyakinan.

Secara perlahan-lahan, dia tidak lagi mengadu nasib kepada ibu bapanya. Beberapa hari kemudian, Mohd. Sukur membuat keputusan untuk melangkah ke alam persekolahan di sekolah kebangsaan.

Mendengar hasrat si anak yang bersungguh-sungguh mahu bersekolah di sekolah kebangsaan itu, Ibrahim tidak sampai hati untuk menidakkan kemahuan anaknya itu.

Di saat Mohd. Sukur melangkah ke pintu pagar Sekolah Kebangsaan Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka, dia sedar disitulah permulaan sebuah kehidupan baharu.

Dia berazam untuk mencabar kemampuan diri sendiri, sekali gus membuka mata semua orang yang pernah memandang rendah kepadanya.

Pekerjaan bapanya sebagai askar memberi kelebihan kepada Mohd. Sukur kerana dia dididik dengan tegas, penuh disiplin dan sifat berdikari sejak kecil lagi.

Bapanya akan memastikan dia memperoleh kedudukan pertama dalam setiap peperiksaan dan menyertai aktiviti kokurikulum ilmiah seperti puisi, nyanyian, syair serta lakonan.

“Saya sendiri rasa malu dan tidak yakin apabila ayah selalu menyuruh saya menyertai pertandingan di sekolah tetapi selepas beberapa kali mengikuti program-program itu, keyakinan diri mula dibina sehingga saya sendiri menawarkan diri.

“Ia diteruskan sehingga ke alam universiti” katanya.

Selepas menunjukkan prestasi cemerlang semasa di Kolej Matrikulasi Melaka, Mohd. Sukur terus melebarkan sayapnya apabila menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Jurusan Teknologi dan Sains Maklumat di Universiti Kebangsaan Malaysia sehingga 2006.

Kerjaya

Selepas bergelar graduan, Mohd. Sukur memohon untuk bekerja di sektor kerajaan tetapi kesemua permohonan ditolak kerana kekurangan fizikalnya.

Situasi itu mendorong Mohd. Sukur untuk membuka perniagaan sendiri bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Kini, Mohd. Sukur boleh berbangga apabila menyediakan perkhidmatan membekal dan memasang permaidani untuk masjid, pejabat dan lain-lain melalui syarikat miliknya, D Strike Solution Sdn. Bhd. sejak dibangunkan pada 2010.

Ceramah motivasi yang dikendalikan Mohd. Sukur pada Karnival Pendidikan dan Keusahawanan Mara di Anggerik Mall, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

 

Selain itu, Mohd. Sukur juga menjadi penceramah motivasi secara sambilan sekiranya tiada kekangan daripada segi jadual kerja.

Namun, baginya, karier pemasangan permaidani menjadi keutamaan dan dia hanya akan memberikan ceramah motivasi sekiranya diundang pada hari dan tarikh yang sesuai.

Pengarah D Strike Solution itu tetap merendah diri ketika menceritakan tentang syarikat miliknya yang memperoleh pendapatan berjumlah RM200,000 hingga RM300,000 sebulan.

“Bukan mudah untuk menjadi usahawan jika tiada ilmu yang cukup. Rentetan itu, D Strike Solution merupakan perniagaan saya yang keempat selepas gagal dalam perniagaan-perniagaan lalu.

“Sebelum ini, saya pernah menceburi bidang perniagaan seperti Multi-Level Marketing(MLM), dobi layan diri dan yang terakhir sekali ialah bidang hiasan dalaman tetapi semuanya gagal.

“Berbekalkan sedikit pengalaman semasa bekerja dalam bidang hiasan dalaman, saya mula terfikir untuk menyediakan perniagaan berasaskan perkhidmatan dalam skop hiasan dalaman.

“Daripada situ, saya mendapat idea untuk menjalankan perniagaan memasang permaidani ini bersama isteri, Wan Nurul Syazwani Wan Mohd Yen, 27, yang ketika itu belum lagi menjadi isteri saya.

“Dialah individu yang sentiasa bersama saya dalam jatuh bangun dunia perniagaan,” kongsinya.

Menggabungkan pengalaman dalam bidang hiasan dalaman dan kepakaran teknologi maklumat, Mohd. Sukur mempertaruhkan strategi pemasaran secara online supaya prospek klien dapat dicapai secara meluas.

Namun, pada awal syarikatnya beroperasi, Mohd. Sukur akui, sukar mendapatkan sebarang pesanan dan terdapat segelintir pelanggan yang membatalkan urus niaga selepas melihat fizikalnya.

“Dahulunya, perniagaan kami adalah berasaskan dalam talian. Kami terima tempahan dan kemudian kami akan pasang mengikut selera klien. Namun, ia bukan semudah yang disangka.

“Ada pelanggan yang membatalkan tempahan serta-merta sebaik melihat fizikal saya kerana tidak yakin pada kemampuan saya.

“Malah, ada juga pelanggan yang lari tanpa membuat pembayaran. Itu semua asam garam dalam dunia perniagaan yang saya sendiri lalui sehingga datang perasaan mahu putus asa.

“Bertahanlah, jika kita berputus asa ketika mula belajar bertatih masa kecil dahulu, masakan kita pandai berjalan dan berlari seperti hari ini.

“Bertabahlah dan lalui dengan berlapang dada kerana tiada siapa tahu hikmah yang menanti di hadapan kita.

“Apa yang penting, reda dan syukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah kerana setiap orang berbeza.

“Namun, kita mampu mencipta sesuatu bermakna dalam hidup dan memberi manfaat kepada orang lain,” pesannya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0429&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm#ixzz47Dxlxu9l
Hakcipta terpelihara

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s