Merkuri bertoksik dalam produk kosmetik


Merkuri bertoksik dalam produk kosmetik

MERKURI bukan hanya digunakan dalam krim pemutih, tetapi juga MERKURI bukan hanya digunakan dalam krim pemutih, tetapi juga didapati positif dalam sabun dan cecair pembersih alat solek. GAMBAR HIASAN/REUTERS

MENJADI idaman setiap wanita di seluruh dunia untuk kelihatan menarik dan cantik. Tidak kurang juga dalam kalangan lelaki zaman kini yang turut berusaha untuk kelihatan tampan dan sedap dipandang. Antara kriteria utama yang diguna pakai adalah mempunyai kulit yang mulus dan putih. Keadaan ini menjadikan seorang menjadi lebih berkulit cerah dan merasa lebih muda.

Dari aspek perubatan, bahan pemutih kulit juga digunakan bagi kes melasma atau jeragat atau hiperpigmentasi. Mekanisme pemutih­an ini berlaku apabila enzim tirosinase disekat daripada mematangkan sel melanin yang memberi warna gelap pada kulit manusia.

Dalam industri makanan seperti sayuran dan buahan, perubahan warna kelesuan selepas beberapa hari turut melibatkan mekanisme yang sama.

Sebenarnya sel melanin ini amat berguna sebagai salah satu pertahanan kulit terhadap kesan radiasi ultra ungu B yang boleh menyebabkan kanser kulit. Namun, kerana taksub kepada kecantikan melebihi kebaikan yang diberikan oleh sel melanin, ramai yang sanggup menyekat atau membunuhnya.

Merkuri Dalam Kosmetik

Jepun adalah antara negara yang telah mengalami bencana merkuri yang amat teruk melibatkan pencemaran alam sekitar dan sistem rangkaian makanan mereka. Ba­nyak pengajaran yang telah dipelajari dan hampir kebanyakan perundangan berkaitan merkuri pada hari ini adalah berdasarkan kepada bencana tersebut.

Satu kajian pada 2004 yang dijalankan di negara seperti Fili­pina, Hong Kong, Korea Selatan dan Malaysia mendapati hampir 40 peratus wanita secara aktif menggunakan krim pemutih setiap hari. Lagi gelap kulit sesuatu bangsa itu, lebih ramai wanita yang terlibat seperti di Togo (59 peratus) dan Nigeria (79 peratus). Kajian lain juga mendapati ada kalangan wanita yang telah menggunakan bahan tersebut lebih 20 tahun.

Dalam kosmetik, merkuri dilabelkan dengan pelbagai nama se­perti mercury, Hg, mercuric iodide, mercurous chloride, ammoniated mercury, amide chloride of mercury, quicksilver, cinnabaris (mercury sulfide), hydrargyri oxydum rubrum (mercury oxide), atau mercury iodide. Arahan pihak pembuat untuk elakkan penggunaan berganda de­ngan emas, getah, aluminium atau barang kemas mungkin memba­yangkan kehadi­r­an bahan tersebut. Terdapat juga pihak pembuat kosmetik tidak menyatakan merkuri di dalam senarai kandungan.

Merkuri bukan hanya digunakan dalam krim pemutih, tetapi juga didapati positif dalam sabun atau buih kosmetik, krim penghilang kedutan kulit, cecair pembersih alat solek mahupun maskara bulu mata. Bahan ini juga boleh terdapat dalam krim masalah kulit seperti jerawat dan psoariasis.

Namun lebih menakutkan lagi adanya kajian lain yang mendapati merkuri berkenaan terutamanya jenis elemental seperti quicksilver, mampu untuk meruap dan mencemari udara dalam rumah sehingga lapan kali ganda lebih tinggi daripada yang dibenarkan.

Lebih malang ia berpotensi menyebabkan pendedahan merkuri melalui pernafasan kepada ahli keluarga yang lain kerana kadar penye­rapan ke dalam sistem darah adalah amat tinggi sebanyak 80%.

Ia juga boleh memasuki sistem penghadaman melalui tangan yang tercemar atau krim yang disapu dekat dengan bibir mulut tetapi hanya 0.01% sahaja yang terserap masuk. Bagi jenis merkuri tak organik yang lain, kadar pe­nyerapan adalah lebih sedikit.

Kesan Toksik Merkuri

Walaupun kadar penyerapan merkuri ke sistem edaran darah melalui kulit hanya sekitar satu peratus, namun penggunaan krim yang banyak dan keadaan kulit yang kering boleh meningkatkan kadar tersebut. Biasanya tiada tanda atau rasa bagi menunjukkan merkuri ada di dalam krim tersebut. Begitu juga jika terdedah melalui sistem pernafasan.

Melainkan jika termakan, seseorang itu akan rasa pelik pada lidah (rasa logam) dan sakit perut. Namun pada tahap tersebut, seseorang telah terdedah pada tahap merkuri yang tinggi dan memudaratkan kesihatan.

Bahan merkuri yang memasuki sistem darah akan membentuk kompleks antigen-antibodi lalu me­rosakkan struktur utama buah pinggang. Ini menyebabkan kerosakan buah pinggang seperti penyakit nefrotik. Pesakit akan kehilangan protein dan mengalami bengkak terutamanya pada kaki dan keliling bawah mata.

Merkuri tidak organik ini agak sukar untuk merentasi selaput otak. Tetapi pendedahan berterusan boleh menyebabkan gangguan pada sistem saraf.

Merkuri elemental yang mampu meruap didapati boleh menyebabkan masalah mental seperti gangguan kognitif, motor dan sensori tubuh, mahupun perubahan personaliti. Inilah antara sebab utama mengapa merkuri tidak dibenarkan untuk ramuan asas barangan kos­metik. Bagi ibu hamil juga, tidak digalakkan menggunakan sebarang alat kosmetik kerana ditakuti anak di dalam kandungan akan terjejas tumbesaran tubuh dan otaknya.

Antara tanda awal utama kesan toksik merkuri ialah ketar-ketar tangan, emosi tidak stabil seperti cepat marah atau meragam, rasa malu amat sangat, hilang keyaki­n­an diri, rasa gemuruh, insomnia, hilang ingatan, perubahan saraf otot (sentakan otot, lemah badan, dan kebas-kebas), sakit kepala, atau kemerosotan prestasi diri untuk bekerja atau membuat sesuatu tugas.

Langkah Pencegahan Risiko

Amalkan pengambilan limau, vitamin C, mulberi, bearberi, serta buah kiwi yang didapati mampu merencatkan pematangan melanin untuk menjadi putih dan muda secara semula jadi. Namun kaedah ini memerlukan masa yang panjang dan kajian terperinci masih diperlukan.

Bagi pengguna barangan kos­metik, pastikan membaca label produk. Guna barangan yang ber­daftar dengan pihak berkuasa. Ti­ada dinyatakan dalam senarai ti­dak bermakna tidak ada merkuri di dalam produk berkenaan terutamanya yang datang dari China atau dari negara jiran. Krim yang mengandungi merkuri boleh dikenali dengan warnanya yang agak kelabu atau kegelapan.

Kurangkan atau hindari diri menggunakan produk kosmetik semasa hamil mahupun menyusu anak. Ambil makanan seimbang yang kaya de­ngan kalsium dan zat besi bagi me­ngurangkan risiko toksik dedahan.

Pengusaha produk kosmetik juga haruslah memastikan barang­an yang dihasilkan bebas daripada logam berat seperti merkuri. Pemantauan serius dengan ujian toksikologi produk perlu dilakukan secara berkala dan sukarela.

Pihak berkuasa perlu meneruskan pemantauan yang sedang dijalankan bagi memastikan semua produk kegunaan masyarakat terpelihara dan bebas bahan tersebut. Satu makmal toksikologi yang lengkap perlu diwujudkan bagi membolehkan pengusaha kosmetik membuat analisis produk secara berkala dan untuk pihak berkuasa menjalankan pemantauan lebih ber­sepadu meliputi semua ba­ra­ng­an atau perkhidmatan yang diguna pakai oleh rakyat Malaysia.

PROF. MADYA DR. MOHD. HASNI JAAFAR ialah Pakar Perunding Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/merkuri-bertoksik-dalam-produk-kosmetik-1.273767#sthash.aqQH5nqc.dpuf

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: