Meraikan ilmuwan Islam


Meraikan ilmuwan Islam

Dr. Zakir Naik menyampaikan ceramah bertajuk Is The Quran Gods Dr. Zakir Naik menyampaikan ceramah bertajuk Is The Quran Gods Word? di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini. UTUSan/Abdul Razak Latif

TAHNIAH buat Kerajaan Negeri Terengganu yang telah menjemput ilmuwan Islam terkenal di dunia, Dr. Zakir Naik memberi syarahan umum di negeri tersebut. Sememangnya, rakyat Malaysia terutamanya umat Islam amat dahagakan ilmu pengetahuan agama. Kebetulan pula, Terengganu terkenal sebagai kota ilmu pengetahuan yang banyak melahirkan tokoh ilmuwan sejak dahulu lagi. Menjemput ilmuwan Islam seperti Dr. Zakir memberi banyak manfaat berbanding menjemput artis luar seperti artis K-Pop yang menyebabkan pelbagai aksi tidak senonoh berlaku tidak lama dahulu.

Memberi ruang kepada ilmuwan-ilmuwan Islam di seluruh dunia untuk menyampaikan syarahan dan pidato umum di bumi Malaysia adalah antara cara terbaik untuk mendidik masyarakat ke arah mencintai ilmu pengetahuan, membuat kebaikan dan menjauhi keburukan. Konsert-konsert yang mendatangkan keburukan seperti aksi-aksi liar dan juga pengambilan dadah sewajarnya tidak diadakan langsung. Tingkatkan ilmu pengetahuan masyarakat Islam berbanding hiburan yang melalaikan.

Dalam hal ini, tokoh ilmuwan seperti Dr. Zakir telah mencetuskan satu fenomena kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan ilmu pengetahuan terutamanya mengenai ilmu perbandingan agama. Kehadirannya mencetuskan permulaan penyatuan semula umat Islam Malaysia. Bersatu kerana Allah SWT. Dengan niat untuk menjadikan umat Islam lebih kuat dan dihormati. Prinsipnya umat Islam perlu kembali kepada al-Quran dan hadis. Kedua-duanya adalah sumber ilmu utama untuk umat manusia. Hal ini berlaku sedemikian kerana ilmu pengetahuan itu datangnya daripada Allah SWT.

Ini mengingatkan saya dengan kata-kata Profesor Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz, seorang ilmuwan tempatan bahawa sebagai manusia kita perlu berfikir dan bersyukur. Dalam konteks ini, sebagai satu-satunya makhluk yang di­ciptakan oleh Allah SWT dengan diberikan akal fikiran, kita perlu bersyukur bahawa sebenarnya ramai tokoh ilmuwan Islam yang berada di pelosok dunia tetapi malangnya kita lebih suka mengangkat mereka yang terang-terangan menentang agama Islam.

Ada antaranya cuba diberikan tempat dalam masyarakat Islam Malaysia sehingga boleh menyebabkan pemikiran umat Islam semakin keliru dengan pelbagai fahaman dan ideologi yang jauh terpesong dengan ajaran agama Islam. Pluralisme, liberalisme dan kegiatan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) cuba dibawa ke dalam masyarakat Islam, walhal tiada sedikit pun kebaikan yang boleh dimanfaatkan melalui kesemuanya ini.

Media anti-Islam telah berusaha sejak dari dahulu lagi untuk melancarkan pelbagai propaganda dan provokasi terhadap umat Islam seluruh dunia. Tujuannya untuk menjadikan umat Islam itu lemah selemah-lemahnya agar tiada lagi empayar yang boleh menggugat mereka sebagaimana kekuatan umat Islam ketika zaman Rasulullah SAW, sahabat dan kerajaan-kerajaan Islam ketika zaman kegemilangan Islam.

Malah, mereka juga sejak dari dahulu telah dan sedang berusaha menyebarkan doktrin, ideologi dan fahaman melalui mekanisme dunia ilmuwan agar mengagung-agungkan ahli-ahli akademik dalam kalangan mereka sehinggakan kita berasakan mereka itu terlalu hebat walhal agama Islam itu cukup sempurna ilmu pengetahuannya untuk sekalian penduduk dunia.

Sebab itulah al-Quran dan hadis menjadi rujukan utama untuk kehidupan manusia dalam menjalani kehidupan yang benar. Dalam hal ini, ilmuwan seperti Dr. Zakir bukan setakat mencetuskan fenomena tetapi juga membuka mata dan hati umat Islam dan bukan Islam mengenai betapa pentingnya ilmu pengetahuan itu sendiri.

Bumi Malaysia ini sewajarnya disuburkan lagi dengan ilmu-ilmu pengetahuan bukan setakat melalui syarahan dan pidato tetapi juga melalui debat, penulisan dan pengajaran. Malah, seorang lagi tokoh ilmuwan terkenal iaitu Allahyarham Sheikh Ahmad Deedat yang juga guru kepada Dr. Zakir telah menyebarkan agama Islam melalui sesi perdebatan beliau dengan orang bukan Islam.

Usah bimbang dengan ilmuwan-ilmuwan sebegini. Mereka ini bukanlah pencetus kacau-bilau. Jauh sekali memburuk-burukkan agama lain. Malah, mereka inilah ilmuwan-ilmuwan yang mengajak sesiapa sahaja tidak kira agama berdamai dan menghormati satu sama lain. Kita tidak perlu bimbang dengan bayang-bayang sendiri sedangkan sudah terbukti tokoh-tokoh ilmuwan Islam seperti mereka berusaha menyuburkan ilmu pengetahuan bukan setakat di Malaysia tetapi juga di seluruh pelosok dunia.

Bahkan, mereka yang bukan Islam diberikan tempat untuk bertanyakan sebarang kemusykilan berkenaan agama Islam termasuklah Islam sering dilabelkan dengan keganasan. Malah, momokan dan propaganda untuk memburuk-burukkan agama Islam jelas kelihatan melalui gelaran kelompok tertentu yang dikenali sebagai Islamic State sedangkan kelompok ini tidak menggambarkan majoriti umat Islam. Jauh sekali mewakili ajaran Islam sebenar. Sebab itulah mereka ini sewajarnya digelar sebagai kelompok yang anti-Islamic State kerana agama Islam tidak sesekali menyuruh umatnya membunuh dan melakukan kekejaman.

Agama Islam menyuruh umat Islam tidak kira sesiapa pun latar belakangnya bersatu. Apa yang berlaku dalam kalangan umat Islam kini adalah kejayaan musuh-musuh Islam yang sengaja ingin memporak-perandakan umat Islam di seluruh dunia. Dengan itu, adalah salah menyatakan Islam menganjurkan keganasan hanya kerana melihat sekelompok umat Islam terlibat dengan keganasan dan pembunuhan.

Sebab itulah, sebagaimana kata-kata Dr. Zakir, telitilah kitab sebenar dan bukannya teliti ke atas penganutnya. Ini kerana bukan semua arif mengenai kitab tetapi pada masa sama kita juga perlu menimba ilmu dengan mereka yang arif. Jika tidak, dibimbangi mengundang pemahaman salah sehingga terpesong daripada ajaran agama Islam yang sebenar.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/meraikan-ilmuwan-islam-1.277852#sthash.wr9Oq6Gv.dpuf

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: