Dr. Zakir daripada kaca mata penganut Hindu


Dr. Zakir daripada kaca mata penganut Hindu

KHABAR DARI NEGERI

DUA hari sebelum pen­ce­ra­mah antarabangsa, Dr. Zakir Naik datang ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) pada Ahad lalu, penulis menerima mesej dalam aplikasi WhatsApp daripada seorang ­bekas guru berketurunan India menyatakan kekesalannya apa­bila kedatangan penceramah itu ke negara ini dipolitikkan oleh segelintir pihak.

Menurut bekas guru itu yang penulis namakannya sebagai Raman, beliau kesal apabila ke­datangan Zakir ke Malaysia ini disempitkan dengan fahaman politik kononnya beliau menyampaikan ceramah anti-Hindu serta cuba memecahbelahkan per­paduan kaum di negara ini.

Walaupun beragama Hindu, Raman seorang yang agak rasio­nal dalam menyampaikan hujahnya apabila beliau berkata, Zakir ialah seorang pendakwah Islam yang berasal dari India, bukannya dari Tanah Arab.

“Sekian lama kita didedahkan kepada agama Islam sebagai agama rasmi dari bangku sekolah. Ada yang kongsi makan bila kita lapar dan tidak pernah lihat agama itu memaksa sesiapa pun untuk memeluk agama itu dan ini.

“Tiba-tiba kedatangan Dr. Zakir Naik pula dipolitikkan. Parti politik mesti mendapat maklum balas daripada akar umbi dulu sebab majoriti tiada masalah dengan kedatangan ulama dari India ini,” kata Raman dalam post WhatsApp itu sebagai memetik komen seorang rakannya yang juga berketurunan India di negara ini.

Maka pada 17 April lalu, Dr. Zakir tiba di Utem Melaka dengan sambutan lebih 20,000 pengunjung walaupun sebelum itu kedatangannya dibatalkan, namun pada saat-saat akhir beliau dibenarkan menyampaikan forum dengan tajuk baharu.

Sepanjang lima jam sesi ceramah Dr. Zakir di Melaka, tiada unsur rasisme yang dilontarkan baik oleh Zakir mahupun peserta yang datang berduyun-duyun sehingga memenuhi setiap ­ruang dalam dewan besar universiti tersebut.

Beliau lebih banyak menyentuh tentang media antarabangsa dilihat banyak memberi gambaran yang salah mengenai Islam sehingga agama itu sering disalah anggap sebagai pencetus kepada kegiatan keganasan dan ekstremis kepada penganut agama lain di seluruh dunia.

Menurut Dr. Zakir, umat Islam sepatutnya mempertahankan diri mereka dan cuba memperjuangkan hak bahawa agama itu tidak menyuruh umatnya untuk bertindak di luar batasan.

“Kita dapat lihat selepas tra­gedi 11 September, semakin ramai orang bukan Islam di Eropah dan Amerika Syarikat yang memeluk agama Islam. Ini menunjukkan walaupun Islam dilabelkan sebagai pengganas susulan kejadian itu tetapi semakin ramai bukan Islam yang tahu kesucian agama Islam.

“Media antarabangsa memberikan gambaran yang negatif seolah-olah Islam adalah pejuang keganasan tetapi di sebalik tuduhan yang dilemparkan itu, umat Islam seluruh dunia dapat mengubah persepsi itu sehingga menarik lebih ramai bukan Islam menyertai agama ini,” memetik ucapannya pada malam itu.

Menurut Raman, Dr. Zakir ialah seorang penceramah Islam dari India yang lebih banyak membicarakan tentang pengesahan mengenai Islam sebagai agama universal, bukannya mengajak penganut agama lain memeluk agama Islam.

Kenapa perlu takut kepada ceramah beliau sedangkan di ­India yang majoritinya penganut agama Hindu, beliau dibenarkan berceramah? India walaupun negaranya majoriti penduduk beragama Hindu namun pemerintahnya mengamalkan dasar sekular dalam sebarang bentuk syarahan umum asalkan ia tidak menyentuh atau menghina agama lain.

Dr. Zakir tidak dihalang berceramah di India malah bagi Raman penceramah itu mempunyai pengetahuan yang luas tentang agama Islam atau agama-agama lain malah beliau mampu menjawab persoalan secara terbuka daripada penganut agama lain.

“Beliau umpama kamus bergerak yang menjawab setiap persoalan tentang Islam atau lain-lain agama sehingga mampu memberi keyakinan kepada mereka yang menyoalnya. Bagi saya, pengetahuan dan intelektual yang ada pada Dr. Zakir seharusnya dikagumi bukan sahaja umat Islam malah penganut agama lain,” katanya.

Tiada yang buruk berlaku di Utem. Ceramah Dr. Zakir hanya berkisar tentang menceritakan kesyumulan Islam dan bahawa Islam adalah bukan agama ekstrem, tidak menyusahkan penganutnya serta bukan mengajak umatnya untuk berpecah-belah sebaliknya bersatu.

Jadi segala telahan buruk mengenai kedatangan Dr. Zakir ke ­negara ini adalah khabar ­angin dan hanya dipolitikkan oleh pihak tertentu demi kepentingan mereka. Janganlah lagi ada yang percaya dengan cerita kononnya beliau cuba menimbulkan pergeseran kaum.

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/dr-zakir-daripada-kaca-mata-penganut-hindu-1.283227#sthash.dF80o8e1.dpuf

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: